Saturday, 2 November 2013

Puisi Melayu dan Jenis-jenisnya (^_^)


PUISI MELAYU DAN JENIS-JENISNYA

PUISI

Banyak daripada puisi Melayu tergolong dalam genre tradisional yang muncul dalam zaman sebelum berkembangnya tradisi tulisan pencetakan. Puisi dalam Bahasa Melayu larut dalam jiwa masyarakat Melayu tidak hanya sebagai satu hasil kesenian, tetapi juga mengjangkau alam mistik, berperanan sebagai wadah pemeliharaan adat, pembinaan sahsiah, pengajaran agama, pengajaran ilmupengasih, pertahanan, hiburan, dan kepercayaan.
Tidak dapat dipastikan tarikh sebenar sejarah mula perkembangan puisi Melayu tradisional. Berdasarkan kajian oleh ramai sarjana, dapat dikatakan perkembangan puisi Melayu tradisional telah bermula secara bersama dan sezaman dengan perkembangan prosa Melayu tradisional. Ini dapat dibuktikan dengan kehadiran banyak genre puisi tradisional dalam karya hikayat dan cerita-cerita rakyat.

Jenis-jenis Puisa:

1.   Pantun
2.   Gurindam
3.   Teromba
4.   Talibun
5.   Mantera
6.   Peribahasa berangkap



******************************************************************************
PANTUN

Perkataan pantun dikatakan berasal daripada perkataan Bahasa Sanskrit paribhasya atau Bahasa Jawa parik yang bererti pari atauperibahasa dalam Bahasa Melayu.

Antara penulisan klassik Tamil yang mempunyai bentuk pantun telah dikarang antara kurun ke dua hingga kurun ke lima dalam tempoh cankam. Contoh rangkapnya adalah:-

nilattinum perite vaninum uyarntanru
nirinum arala vinre carar
karunkor kurincip pukkontu
perunte nilaikkum natanotu natpe
(Tevakulattar: Kuruntokai, 3)

Terjemahan:

(Besar dari bumi, tinggi dari langit
Dalam dari laut, dilereng gunung
(kurunci tangkai gelap mekar - seperti madu
Besar lagi cintaku bagi Tuanku (lord of the land))

Antara persamaan yang boleh dilihat adalah ia menggunakan puisi sebagai gambaran cinta, mempunyai jumlah silables sekata setiap baris, dan pecahan gambaran pada dua baris yang sama.

Menurut Dr. Brandsetter pula, perkataan 'pantun' berasal daripada akar kata tun yang boleh dikesan dalam Bahasa Jawa iaitu tuntun, dalam Bahasa Tagalog disebut tonton yang diucapkan dalam aturan yang tertentu. Dalam Bahasa Sunda, pantun bermaksud satu cerita (karangan) panjang berirama yang dinyanyikan dengan iringan muzik. Manakala dalam masyarakat Melayu pula, pantun berertikuantrain, iaitu puisi yang tersusun dalam struktur empat baris serangkap.

Pantun dapat dikelaskan berdasarkan kepada bentuk/struktur, tema/isi, fungsi dan penyebarannya. Daripada pengkelasan inilah maka timbullah apa yang disebut pantun dua kerat, empat kerat, enam kerat, lapan kerat, dan sebagainya. Dari segi tema pula memunculkan jenis-jenis pantun seperti yang berikut:


1.      pantun kanak-kanak
2.      pantun cinta dan kasih sayang
3.      telatah dan cara hidup masyarakat
4.      pantun teka teki
5.      pantun puji-pujian/sambutan
6.      pantun nasihat, agama, dan adat
7.      pantun naratif/cerita

Contoh Pantun

Contoh pantun cinta dan kasih sayang:

Dari Mentakab ke Sungai Mati,
Singgah bermalam di Tangga Batu,
Tumpang di rumah Tok Lela,;
Timbullah insaf dalam hati,
Pemandu ramai penumpang pula tetap setia.

Contoh yang lain:




******************************************************************************
GURINDAM

Gurindam terkenal dalam masyarakat Melayu terutamanya di Sumatera. Di Sumatera, gurindam juga dikenali dengan nama Muslihat Acheh, Gurindam Barus, Lagak Minang, dan sebagainya. Asal usul perkataan gurindam adalah daripada Bahasa Sanskrit dan dikatakan memasuki Bahasa Melayu melalui Bahasa Tamil iaitu 'kirandum'.

Struktur puisi gurindam terdapat dua: terikat dan tidak terikat. Bentuk gurindam terikat terdiri daripada dua baris serangkap dengan rima akhirnya yang sama. Bagi bentuk gurindam yang tidak terikat pula, jumlah barisnya tidak tetap, manakala rima akhirnya bebas.

Contoh Gurindam

Barang siapa mengenal Allah
Suruh dan tegahnya tiada ia menyalah

Barang siapa mengenal diri
Maka telah mengenal akan Tuhan yang bahri

Barang siapa  mengenal dunia
Tahulah ia barang yang terpedaya

Barang siapamengenal akhirat
Tahulah ia dunia mudharat

Contoh yang lain:





******************************************************************************
TEROMBA

Teromba terkenal dalam orang Minang yang kuat berpegang kepada adat Perpatih. Teromba juga dikenali dengan nama-nama sepertiterasul, tambo, dan salasilah. Sesebuah teromba lazimnya mengungkapkan gagasan pemikiran yang tinggi berkenaan peraturan, nilai, adat, dan hukum-hukum hidup bermasyarakat.

Terdapat banyak pengertian teromba; ada yang menyatakan bahawa teromba sebagai perbilang adat, undang-undang yang tetap dan kata-kata adat. Dari segi bentuk, teromba berbentuk bebas. Jumlah baris dalam setiap rangkapnya tidak tetap, manakala rima akhir setiap baris pula tidak sama. Di dalam sebuah teromba disisipkan dengan beberapa jenis puisi tradisional lain, seperti pantun,gurindam, dan peribahasa.

Contoh Teromba
Merisik dalam adat Istiadat perkahwinan
Adalah saya bak kata orang,
Kok ibarat umur baru bertukar muda,
Pendapatan pun belum ada,
Pandangan pun belum banyak,
Pengamalan pun belum jauh,
Kok darah belum setampuk pinang,
Kok jalan kurang pasa,
Kalau begitu kedatangan saya ini,
Ibarat pergi ke huma,
Singkap daun ambil buah,
Adapun kedatangan saya ini sama-sama faham,
Orang ke awak, awak ke orang,
Semenda bersemenda,
Kok ibarat dasar pusaka,
Kok segar disiram,
Kok putus kata di pangkal,
Putus dengan dibagai,
Duduk berperuntungan,
Mati hokum Allah,
Duduklah pula sepelarasan,
Pandang memandang satu nan lain,
Iaitu bersuku-suku,
Berapalah sukunya dua belas,
Dua belas Muar dua belas Jempol,
Enam Teraci enam Gunung Pasir,
Kok selaman sepermainan,
Kok sejamban seperulangan,
Tak dek hokum tak mengambil,
Diharuskan pula semenda-menyenda.


******************************************************************************
TALIBUN

Definisi umum bagi talibun menurut Kamus Dewan (2005) ialah sejenis puisi lama yang terdiri daripada empat baris, enam baris, atau dua puluh baris yang bersajak di hujungnya. Talibun disebut juga dengan nama seromba dan mempunyai bentuk yang hampir sama dengan prosa lirik atau prosa berirama. Walau bagaimanapun, talibun berbeza dengan prosa lirik dan prosa berirama kerana talibun merupakan sebahagian sahaja daripada cerita yang diambil prosa lirik.

Talibun mengungkap persoalan yang berbagai bergantung kepada konteks cerita induknya. Lazim isi talibun berkisar kepada pelbagai perkara dan objek; seperti senjata, pakaian, kenderaan, negeri, perlakuan manusia, fenomena alam, perasaan, dan tradisi yang terdapat dalam sesebuah cerita lipur lara.

Contoh Talibun
Menyahut panggilan apabila dipanggil ke istana
Pukul tabuh larangan
Palu gong pelaung
Titir canang pemanggil
Yang capik dating bertongkat
Yang buta beraba-raba
Yang tuli leka bertanya
Yang kecil terambin lintang
Yang jarak tolak-tolakan
Yang pendek bertinjau-tinjau
Yang kurap mengekor angin
Yang pekak pembakar meriam
Yang buta penghembus lesung
Yang lumpuh menghalau ayam
Yang pekung penjemuran
Yang kurap pemikul buluh


******************************************************************************
MANTERA

Istilah mantera berasal daripada kata mantra, mantr, atau matar, dalam Bahasa Sanskrit yang bermaksud nyanyian memuja tuhan atau pemujaan penyebutan kata-kata tertentu bagi memperolehi sesuatu yang dihajatkan yang mempunyai kesamaan dengan jampiserapah, tawar, sembuh, cuca, puja, dan takal.

Keakraban masyarakat Melayu silam dengan alam sekitar mendorong kepada timbulnya kepercayaan-kepercayaan bahawa alam sekitar mempunyai pengaruh dan kuasa yang menentukan sesuatu perkara dalam kehidupan mereka. Kepercayaan ini berkait rapat dengan pengaruh animisme yang diwarisi secara turun-temurun.

Dari situ timbullah unsur-unsur kuasa magis seperti semangat dan roh yang dianggap sebagai memberi kesan kepada sesuatu perkara yang dihajati secara langsung kepada unsur-unsur magis tersebut. Pawang atau bomoh adalah ahli-ahli penting yang menguasai dan mengamalkan mantera. Mereka membaca mantera dengan nada, irama, dan tekanan suara yang tertentu sesuai dengan tujuan perbomohan atau sesuatu perkara yang dihajati.

Mantera tergolong dalam kelompok puisi, kerana pengucapan dalam bentuk mantera menggunakan kata-kata yang tersusun dalam bentuk rangkap, mempunyai makna yang tersirat, bahasa yang padat puitis. Mantera boleh digolongkan sebagai sejenia puisi Melayu tradisional berbentuk bebas, kerana tidak terikat kepada jumlah baris yang sama dalam satu-satu rangkap, manakala rima askihrnya pula tidak tetap.

Contoh Mantera
Puja Padi:
Seri Dangomala, Seri Dangomali!
Hendak kirim anak Sembilan bulan;
Segala inang, segala pengasuh;
Jangan beri sakit, jangan beri demam,
Jangan beri ngilu dan pening;
Kecil menjadi besar;
Tua menjadi muda;
Yang tak kejap diperkejapkan;
Yang tak sama dipersamakan;
Yang tak tinggi dipertinggikan;
Hijau seperti air laut;
Tinggi seperti bukit Kaf.

******************************************************************************
PERIBAHA BERANGKAP

Peribahasa tergolong dalam jenis puisi warisan Melayu dan sangat banyak ditemui dalam kesusasteraan Melayu tradisional.

Peribahasa juga disebut dengan nama peribahasa berirama dan mempunyai beberapa variasi seperti bidalan, pepatah-petitih,perbilangan, perumpamaan, lidah pendeta, kias ibarat, dan tamsil.

Dari segi bentuk, peribahasa berangkap terbina dalam dua keratan yang sejajar, baik dalam dalam sebaris atau lebih. Tidak sebagaimana pantun, baris-baris dalam peribahasa tidak berkaitan antara satu sama lain.

Peranan peribahasa dalam majlis-majlis rasmi mahupun dalam kehidupan seharian mereka adalah sebahagian daripada budaya Melayu yang sopan walau semasa menegur, menyindir atau mengkritik secara halus. Peribahasa juga berfungsi sebagai alat kawalan sosial dan pemantapan sesuatu sistem sosial dalam kemasyarakatannya dan media yang mempamerkan kebijaksanaan penutur atau pewarisnya.




******************************************************************************

Anak-anak yang dikasihi, inilah Puisi Melayu dan contoh-contohnya.
Sila rujuk sebagai pengetahuan anda.

Sekian, terima kasih. (^_^)





**************************************************************

No comments:

Post a Comment